Thursday, July 13, 2017

BM SPM: Faedah-faedah bersukan kepada masyarakat

Sukan bukanlah semata-mata aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengisi masa lapang atau sebagai riadah kecil mengeluarkan peluh.Mutakhir ini ,pemodenan sukan bergerak seiring dengan kemajuan dunia dan membawa falsafah yang lebih berat. Pertumbuhan pelbagai bidang sukan yang rancak ini digerakkan dengan lebih dinamik dan profesional. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga telah banyak membawa manfaat. Ironinya, penglibatan masyarakat dalam bidang sukan dapat menunaikan pelbagai hasrat bukan sekadar pertarungan di gelanggang sahaja. Persoalannya, apakah faedah-faedah bersukan kepada maasyarakat?

            Salah satu daripada faedah bersukan ialah kegiatan sukan dapat membantu mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Kehidupan zaman moden ini lebih banyak menggunakan tenaga dalaman dan pemikiran.Golongan profesional dan separa profesional dalam membangunkan negara sering kali terpaksa mengabaikan kegiatan fizikal kerana kekurangan waktu untuk tujuan tersebut. Kesibukan semua lapisan masyarakat ini membawa kepada masalah kesihatan fizikal dan mental. Penglibatan golongan kanak-kanak , remaja dan orang dewasa dalam pelbagai kegiatan sukan dapat menyelesaikan pelbagai masalah kesihatan. Kegiatan sukan merupakan  langkah awal seperti kata pepatah “sediakan payung sebelum hujan” dalam mengawal obesiti, penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetis dan penyakit jantung. Kegiatan sukan  juga dapat membantu mereka yang telah menghidap penyakit untuk kembali pulih. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga mampu menangani ketegangan fikiran dan meringankan bebanan mental. Sesungguhnya kegiatan sukan dapat melancarkan perjalanan darah, mengurangkan lemak yang berlebihan dalam salur darah dan jantung ,membantu perkumuhan dan membuang sisa-sisa yang tidak diperlukan oleh badan. Tegasnya, penglibatan dalam bidang sukan merupakan usaha efektif dalam melahirkan masyarakat yang sihat.

            Selain itu, bersukan juga dapat mengisi masa lapang seseorang. Masa lapang sebenarnya amat berharga bagi  setiap individu atau masyarakat. Seseorang yang melibatkan diri dalam bidang sukan juga adalah satu cara mengisi masa lapang dengan berfaedah. Masa itu emas , walaupun hanya ada beberapa minit, masa itu sangat berharga .Masa lapang ini sangat bermanfaat jika digunakan untuk bersukan bagi mengembalikan tenaga dan melegakan ketegangan. Bagi golongan remaja pula, penglibatan dalam bidang sukan dapat menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral , vandalisme dan membuang masa sia-sia seperti melepak , merokok dan terlibat dalam pengambilan dadah. Sukan dapat menarik masyarakat ke arah memanfaatkan masa lapang dengan cara yang lebih baik. Kesan yang jelas ialah sukan mampu meningkatkan swadaya masyarakat dan melangkah gagah  dengan yakin ke peringkat antatabangsa  walaupun melalui ranjau pidana  dunia persaingan hari ini. Sesungguhnya sukan dapat mendisiplinkan masyarakat memanfaatkan masa dengan lebih bermakna.

            Di samping itu, sukan merupakan  salah satu instrumen penting untuk mengeratkan hubungan perpaduan dan integrasi masyarakat. Hal ini demikian kerana, kegiatan sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam pasukan untuk meraih kemenangan.  Sifat bersatu padu juga dapat dipupuk melalui penglibatan dalam kegiatan sukan kerana bulat air kerana pembentung, bulat  manusia kerana muafakat. Lantaran itu, hubungan yang erat dapat melahirkan sebuah pasukan yang kuat. Para penyokong juga dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di samping berkongsi minat dalam sukan yang sama. Dengan ini, nilai-nilai perpaduan seperti bekerjasama, bertoleransi dan meletakkan kepentingan negara dan pasukan melebihi kepentingan diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri dalam bidang sukan. Justeru , kegiatan sukan dapat mendidik masyarakat bekerjasama dan bersatu padu serta mengeratkan hubungan.

            Akhir sekali, sukan juga mampu memberi ruang untuk menambahkan pendapatan secara individu dan kumpulan. Atlet yang mencapai tahap kemahiran profesional boleh menjadikan sukan sebagai kerjaya yang lumayan. Penganjuran dan pengusaha peralatan dan prasarana sukan juga mampu menjana pendapatan yang besar. Serentak dengan kegiatan sukan secara serius di peringkat  glokal dan global mampu menjana keuntungan melalui kadar tukaran wang asing. Seiring dengan itu, industri hiliran muncul bersama perkembangan sukan yang diceburi. Kemajuan sukan menampakkan hala tuju  anak muda yang berkebolehan mengembangkan bakat dan potensi menjadikan sukan sebagai  kerjaya masa depan mereka. Pemain bola sepak secara professional, pemain badminton  seperti Datuk Lee Chong Wei  dan Shalin Zulkifli masing-masing menjadikan badminton dan  bowling sebagai kerjaya. Jelaslah sukan juga dapat menjadi kerjaya yang baru kepada masyarakat.

Kesimpulannya, penglibatan dalam bidang sukan akan membawa pelbagai faedah kepada masyarakat.Oleh itu , semua lapisan masyarakat amat digalakkan menyertai semua jenis sukan. Sukan diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang sihat, bersatu padu, berdaya maju dan berdaya saing. Sukan juga mampu mengangkat martabat rakyat dan negara di persada antarabangsa agar mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Negara maju yang lain.  Sesungguhnya, sukan berfaedah kepada individu, masyarakat dan negara. Tegasnya,  kegiatan sukan wajar digalakkan kepada semua lapisan masyarakat.


Faedah-Faedah Melibatkan Diri Dalam Aktiviti Sukan

Sukan ialah segala kegiatan yang memerlukan kemahiran atau ketangkasan serta tenaga yang dilakukan sama ada sebagai acara pertandingan, hiburan atau untuk mengisi masa lapang dan beriadah. Pada tahun yang lalu, kerajaan telah memperkenalkan dasar 1Murid 1Sukan kerana menyedari kepentingan bersukan. Contoh aktiviti sukan yang agak popular kini ialah seperti olahraga, renang, bola sepak, tenis, badminton dan skuasy. Persoalannya apakah faedah jika seseorang murid itu melibatkan diri dalam aktiviti bersukan?


Faedah bersukan yang utama kepada murid ialah sukan dapat meningkatkan disiplin. Hal ini demikian kerana individu yang ingin berjaya dalam bidang sukan mesti mempunyai disiplin yang tinggi dan dapat mengawal diri untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Contohnya, setiap pemain dalam sesebuah pasukan itu mesti menepati masa, rajin berlatih, tidak merokok dan mematuhi arahan jurulatih. Oleh itu, secara tidak langsung sukan juga turut membentuk disiplin murid tersebut.


Seterusnya, sukan juga penting bagi melahirkan seseorang murid yang sihat. Hal ini demikian kerana bersukan boleh menguatkan otot dan tulang serta menyihatkan badan. Misalanya, seseorang murid yang bersukan pada setiap petang akan membakar lemak berlebihan dalam badan. Oleh itu, murid yang aktif bersukan jarang mendapat demam dan selesema berbanding dengan rakan-rakannya yang tidak bersukan.


Selain itu, seseorang murid yang aktif dalam kegiatan sukan akan terdidik untuk mengagihkan masa dengan sewajarnya kerana masa itu emas. Hal ini dikatakan demikian kerana murid tersebut akan menentukan masa yang sesuai untuk memberikan tumpuan terhadap sukan dan masa untuknya belajar. Contohnya, seseorang murid yang menyertai pasukan sekolah mesti ada jadual latihan sukan dan jadual belajar. Oleh itu, seseorang murid yang aktif dalam sukan juga berjaya dalam pelajaran.


Faedah berikutnya, sukan juga membentuk murid menjadi seseorang yang berfikiran positif. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan aktif bersukan seseorang itu dapat berfikir secara rasional dan berkeyakinan tinggi serta tidak cepat berputus asa. Contohnya, Datuk Lee Chong Wei tetap tidak berputus asa walaupun gagal meraih pingat emas dalam sukan Olimpik baru-baru ini. Oleh itu, sukan penting dalam melahirkan murid yang berfikiran positif.


Akhir sekali, murid yang aktif bersukan juga dapat menggunakan masa lapang mereka dengan lebih bermanfaat. Hal ini dikatakan demikian kerana biasanya murid yang aktif dalam bidang sukan tidak berminat bermain permainan komputer dan tidak akan menghabiskan masanya untuk berpeleseran di pusat beli-belah, menonton televisyen dan berbual-bual kosong. Oleh itu, sudah pasti mereka akan menghabiskan masa dengan lebih bermanfaat.


Izharnya, jelaslah di sini bahawa melibatkan diri dalam sukan banyak membawa faedah kepada murid. Oleh itu, pihak kerajaan perlu menyediakan banyak kemudahan untuk bersukan di sekolah. Ibu bapa pula patut menggalakkan anak-anak mereka bersukan. Begitu juga dengan guru-guru perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran sukan. Saya percaya dengan adanya kerjasama antara semua pihak lebih ramai lagi jaguh sukan negara yang akan menyerlah di peringkat antarabangsa, asalkan kita tidak melakukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam.


(CNP)

BM SPM - Langkah Memupuk Semangat Kejiranan

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman atau di sebuah kampung yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa "Jiran sepakat membawa berkat".Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara. Oleh itu, langkah-langkah yang wajar hendaklah diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.

Langkah primer yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan sesama jiran.

Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.

Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah, dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola tampar, taman rekreasi, atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.


Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.


Seterusnya, kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Jadi, melalui lawatan kita itu, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita itu.

Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.

Karya Munsyi Dewan


BM SPM: Semangat kejiranan dalam kalemnangan masyarakat semakin luntur. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan penting untuk menghidupkan semangat kejiranan agar menjadi ikutan remaja. Ulaskan pernyataan ini.

Susun papan satu persatu,
      Agar redup dahan rumbia;
Hidup berjiran bantu –membantu,
    Agar hidup harmoni bahagia.

          Maksud pantun di atas jelas memaparkan kepentingan hidup berjiran.  Amalan bantu-membantu sesama jiran menjamin kehidupan masyarakat yang harmoni dan bahagia.  Namun, pada era globalisasi kini, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat semakin luntur.Kehidupan moden yang mementingkan kebendaan telah menghanyutkan manusia  dalam arus kesibukan yang tidak bernoktah sehingga jalinan hubungan antara jiran tetangga disisihkan.  Fenomena ini semakin membimbangkan sekiranya menjadi ikutan golongan remaja kerana tingkah laku dan sikap remaja sebenarnya banyak dipengaruhi oleh orang tua mereka.  Contohnya, sekiranya ibu bapa tidak pernah bertegur sapa atau tidak mengenali siapa jiran  di sebelah rumah, sudah pasti sikap ini akan dicontohi oleh anak-anak remaja mereka persis ungkapan bapa borek anak rintik, bagaimana acuan , begitulah kuihnya.  Siapakah insan yang pertama menghulurkan bantuan jika kita dilanda musibah kalau bukan jiran di sebelah rumah.  Justeru, peranan ibu bapa sangat penting dalam menghidupkan semangat kejiranan dalam sanubari generasi muda demi merealisasikan hasrat mewujudkan kehidupan masyarakat yang harmoni.



          Memang tidak dapat dinafikan, ibu bapa merupakan suri teladan atau role-model kepada anak-anak .  Oleh itu, tindak tanduk dan sikap ibu bapa terhadap jiran akan diperhatikan dan dicontohi oleh anak-anak mereka. Ibu bapalah  yang mengasuh dan mendidik anak-anak dari tapak kaki sebesar dua jari sehinggalah meningkat remaja. Umpama sehelai kain putih, anak-anak perlu dicorakkan bukan dengan sahaja nilai-nilai agama malah nilai-nilai sosial yang murni.  Justeru dalam usaha memupuk semangat kejiranan dalam jiwa anak-anak-anak, ibu bapa sendiri perlu mengorak langkah dengan menjalinkan hubungan yang baik sesama jiran tetangga.  Contohnya, ibu bapa perlu menunjukkan sikap sentiasa mesra dengan jiran, bertegur sapa dan bertanya khabar apabila bersua muka, dan sebagainya. Ibu apa juga perlu menerangkan tentang peranan dan kepentingan jiran kepada anak-anak sejak kecil supaya mereka menghargai jiran tetangga sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka.  Bak kata perpatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya, usaha memupuk amalan dan pergaulan yang baik dengan jiran sejak kecil lagi akan kekal dipraktikkan oleh anak-anak sehingga mereka meningkat remaja.




          Selain itu, ibu bapa juga perlu melibatkan anak-anak dalam perkara-perkara yang berkaitan hubungan dengan jiran supaya anak-anak dapat mempraktikkan sendiri nilai-nilai kejiranan tersebut.  Tak kenal maka tak cinta, justeru, amalan kunjung-mengunjung mesti diamalkan supaya dapat mengenali jiran dengan lebih dekat dan seterusnya kemesraan dapat diwujudkan.  Janganlah dibiarkan anak-anak remaja kita terlalu leka menonton televisyen, bermain permainan komputer atau melayari internet sehingga tidak endah dengan suasana di sekeliling.  Contohnya, ibu bapa boleh membawa anak-anak mengunjungi jiran tetangga ketika sambutan Hari Raya, Tahun Baru Cina atau Deepavali.  Apa yang sering berlaku setiap kali hari kelepasan sempena Hari Raya contohnya, ahli keluarga termasuk ibu bapa leka menonton televisyen kerana banyak program menarik disiarkan.  Mereka lebih rela memerap di rumah untuk menonton program kegemaran menyebabkan budaya kunjung-mengunjung semakin dipinggirkan.  Justeru, ibu bapa mesti mengubah fenomena ini , lebih-lebih amalan ziarah-menziarahi ini menjadi lebih penting jika jiran kita jatuh sakit atau mengalami masalah.   Ibu bapa perlu bijak memujuk anak-anak untuk turut sama menziarahi jiran supaya amalan ini dapat dipupuk dalam kalangan remaja.



          Tambahan pula, program-program yang dianjurkan oleh masyarakat di sesebuah kawasan kejiranan turut dapat memupuk semangat bantu-membantu, hormat-menghormati dan berkerjasama dalam kalangan masyarakat di kawasan tersebut.  Aktiviti seperti gotong-royong membersihkan kawasan taman perumahan, aktiviti Hari Keluarga, Rukun Tetangga, dan sebagainya boleh dianjurkan oleh ahli jawatankuasa yang berkenaan.  Di kawasan kampung misalnya, aktiviti marhaban pada Hari Raya, rewang ketika kenduri-kendara atau majlis perkahwinan, kumpulan bacaan Yasin dan sebagainya juga merupakan aktiviti yang sangat penting untuk memupuk semangat kejiranan ini.   Di sinilah ibu bapa memainkan peranan yang amat penting untuk memastikan mereka dan anak-anak remaja melibatkan diri secara aktif.  Janganlah ketiadaan masa atau ingin berehat setelah penat bekerja dijadikan alasan sehingga aktiviti yang bermanfaat ini tidak mendapat sambutan yang sewajarnya.  Melalui aktiviti ini remaja berpeluang mengenali jiran dengan lebih dekat, beramah mesra terutama dengan jiran yang seusia dengan mereka, menghormati jiran yang lebih tua dan secara tidak langsung akan menyedari bahawa aktiviti seumpama ini adalah yang terbaik bagi mengisi masa lapang remaja.  Seperti ungkapan serampang dua mata, aktiviti yang dianjurkan ini diharapkan bukan sahaja dapat memupuk dan menghidupkan semula semangat hidup berjiran malah dapat mengurangkan ketaksuban dan kegemaran remaja terhadap aktiviti yang berkaitan dengan kecanggihan alat teknologi, gajet dan internet.



          Kesimpulannya, hidup berjiran merupakan amalan yang wajar dipelihara dalam masyarakat pada masa kini.  Tanpa hubungan yang  baik dengan jiran, kepincangan sebenarnya telah berlaku dalam keperibadian seseorang ahli masyarakat.  Justeru, sebagai pemimpin keluarga, perlakuan ibu bapa semasa bergaul dengan jiran akan meninggalkan gambaran yang mendalam kepada remaja.  Natijahnya, ibu bapa yang prihatin tentang hubungan sesama jiran pasti akan melahirkan remaja yang dapat hidup berbaik-baik dengan jiran, seterusnya mampu mewujudkan masyarakat Malaysia yang hidup bersatu padu, harmoni dan bahagia.

(CNP)

BM SPM: CARA MEMUPUK SEMANGAT KEJIRANAN

Dalam mendepani era modenisasi pada abad-21 kini, dunia menyaksikan iktisad (ekonomi)negara membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Negara yang semakin pesat membangun seperti tenggelam sama basah, timbul sama hanyut seiringan dengan negara maju lain. Namun begitu,  isu memupuk semangat kejiranan masih menjadi polemik dalam kalangan marhaen (golongan bawahan) di Malaysia.  Dewasa ini, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita semakin hari semakin terpinggir. Maasyarakat pada hari ini lebih mementingkan diri sendiri dan membudayakan hidup bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Dari segi  konsepnya semangat kejiranan boleh ditakrifkan sebagai suatu perasaan yang harus dipupuk oleh setiap masyarakat di Malaysia tanpa mengira warna kulit bangsa dan agama dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan kaum demi negara yang tercinta. Biasanya semangat kejiranan merangkumi semua lapisan masyarakat tidak kira muda ataupun tua yang perlu kita amalkan. Menurut Dato’ Dr. Fadzillah Kamsah jiran merupakan orang yang tinggal di sekeliling kita sama ada di depan, belakang, kiri , atau pun kanan dan merupakan orang pertama yang membantu kita ketika kita berada dalam kesusahan. Hal ini boleh dianalogikan seperti awan yang melindungi bumi daripada cahaya matahari. Oleh itu, langkah yang signifikan harus diambil bagi menerapkan semangat kejiranan kepada semua lapisan masyarakat.

            Cara yang afdal untuk memupuk semangat kejiranan ialah ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini kerana ibu bapa merupakan guru pertama dan guru terbaik kepada anak-anak. Jika ibu bapa menunjukkan teladan  yang baik kepada anak-anak maka mereka akan mencontohi teladan yang ditunjukkan kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sekiranya ibu bapa menunjukkan suri teladan yang buruk kepada anak-anak maka mereka akan menjadi anak-anak yang jahat malah lebih teruk lagi.  Hal ini boleh dianologikan seperti anak burung yang baru belajar terbang daripada ibunya. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah mengunjungi atau menziarahi jiran tetangga walaupun mereka berada dalam keadaan yang baik atau tidak. Selain itu, ibu bapa haruslah tidak sombong dengan jiran dan sering bertegur-sapa agar dapat memupuk semangat kejiranan. Kesannya, semangat kejiranan dapat dipupuk antara jiran dalam kalangan anak-anak dan ibu bapa sekali gus dapat mewujudkan masyrakat yang harmoni. Sekiranya cara memupuk semangat kejiranan dapat dipupuk oleh ibu bapa maka negara dapat melahirkan generasi yang bijaksana dan bekerjasama dalam mentadbir membangunkan negara ke  arah kemajuan  negara pada masa akan datang. Tegasnya, contoh teladan yang terbaik daripada ibu bapa mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan anak-anak.

                Memetik wasitah nirmala seterusnya, minhaj (cara) untuk memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat setempat di Malaysia ialah program rukun tetangga  di kawasan perumahan mesti dihidupkan semula. Hal ini kerana program rukun tetangga berfungsi sebagaiperisai untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari.  Anggotanya membabitkan semua pihak tanpa mengira kaum kerana masing-masing bertanggungjawab menjaga keselamatan kendiri dan keluarga. Sebagai contohnya, anggota rukun tetangga akan bergilir-gilir bertugas meronda kawasan tanpa mengira usia, agama dan status. Secara ghalibnya (lazimnya), senario ini akan mewujudkan  jalinan hubungan yang mesra bagai isi dengan kuku sekali gus memupuk semangat kejiranan yang hakiki (sebenar). Menurut Tun Dr. Mahathir, jiran yang muafakat akan membentuk masyarakat yang harmoni. Oleh itu, kita perlu mengaktifkan program rukun tetangga bagi melahirkan semangat kejiranan yang utuh dan bersatu padu. 

            Meninjau dari skop yang lain, langkah yang seterusnya adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong.  Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong adalah seperti  membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Selepas mengenali hati budi antara satu sama lain barulah benih-benih kasih sayang. Melalui cara ini, masyarakat yang penyayang dapat dilahirkan di samping dapat menerapkan pelbagai nilai murni. Tun Dr. Mahathir, Mantan Perdana Menteri  pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerapkan pelbagai nilai murni dalam diri. Bukan itu sahaja, kawasan kediaman juga akan menjadi bersih dan terpelihara daripada penyakit demam denggi. Jelaslah bahawa aktiviti gotong-royong dapat memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

            Jika dilihat dari perspektif yang lain, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanyakan khabar dan bercerita tentang pengalaman masing-masing dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan.Maka, dengan adanya pengimplimentasian program seperti “Rumah Terbuka Kebangsaan” bagi setiap sambutan perayaan, rakyat dapat diterapkan dengan nilai hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain ibarat kata bidalan, “serumpun seperti serai, seikat seperti sirih”. Hal ini dikuatkan lagi dengan kajian dari Universiti Sains Malaysia yang menunjukkan keberhasilan penganjuran program “Rumah Terbuka Kebangsaan” dalam mewujudkan institusi kejiranan yang kukuh di sembilan buah kawasan perumahan di sekitar Pulau Pinang. Pendek kata, majlis rumah terbuka mampu mengeratkan hubungan kejiranan dan memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

            Lontaran idea yang seterusnya ialah kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Dengan ini, kita dapat meringankan penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Izharlah bahawa amalan ziarah-menziarahi mampu menyemarakkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita.


            Sebagai menggulung segala lontaran idea yang telah dinyatakan, dapatlah disimpulkan bahawa terdapat beberapa cara yang dapat dipraktikkan untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal.  Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.  Oleh itu, kita perlu memupuk semangat kejiranan  bermula daripada sekarang.  Cogan kata “Jiran Sepakat Membawa Berkat” perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Golongan remaja seharusnya menyuburkan semangat kejiranan kerana mereka merupakan pemimpin yang akan mewarnai corak pemerintahan pada masa hadapan. Namun begitu, kita tidak seharusnya meletakkan usaha ini pada bahu satu pihak kerana bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Oleh itu, semua pihak perlulah bersinergi ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing untuk menghidupkan semangat kejiranan di negara kita. Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenali”. Semoga Malaysia menjadi sebuah negara yang mempunyai perpaduan yang utuh dan kukuh.

(CNP)